Sunday, April 08, 2007

Sejarah SKSBN Sepintas Lalu

Tahun 1947
Kediaman En. Mohd. Yusof b. Hj. Abd Rahim, Ketua Kampung 33, Jalan Johor, Pontian telah menjadi detik bermulanya sejarah Sekolah Kebangsaan Seri Bunian. Rumah beliau telah dijadikan bangunan pertama sekolah ini. Cikgu Tauhid b. Marwat dan Cikgu Othman b. Ghaiman telah menjadi guru perintis, berkhidmat kepada 40 orang murid lelaki dengan gaji 40 sen bagi setiap murid.


Tahun 1948
Sekolah ini berpindah ke tapak Bangunan Balai raya yang dimiliki oleh En. Ratijan b. Badron.

Tahun 1952
Sekolah ini berpindah ke tapak Bangunan Masjid Lama kampung ini di Parit Mad Yakin Timur. Bangunan ini dibina secara gotong-royong di mana semua bahan binaan disediakan oleh kerajaan. Ia dikenali sebagai SEKOLAH KEBANGSAAN BATU 33, JALAN JOHOR dengan bilangan 90 orang murid hingga setakat Darjah Tiga.


Tahun 1959
Satu bangunan telah dibina di tapak sekolah sekarang. Ketika ini ia digunakan oleh Sekolah Agama Seri Bunian. Ia dibina secara gotong-royong di atas tanah seluas 1 ekar, dibeli dari Hj. Siraj b. Adi Yasa dengan harga RM800 (bantuan kerajaan RM300 dan sumbangan dari RIDA sebanyak RM500). Sekolah ini dikenali sebagai SEKOLAH UMUM BATU 33, JALAN JOHOR, PONTIAN.


Tahun 1960
Sekolah Kebangsaan Umum Batu 33, Jalan Johor, Pontian, mula digunakan di bangunan ini. Sebatang anak sungai mengalir berhampiran sekolah ini. Dikatakan sungai ini sentiasa berbunyi. Sekolah ini mula dikenali oleh penduduk tempatan sebagai “SERI BUNYIAN”. Pada tahun 60-an, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee mencipta lagu “Puteri Seri Bunian” dan telah diminati ramai. Ekoran dari peristiwa ini dan mengindahkan lagi nama sekolah ini, ia dikenali sebagai SEKOLAH KEBANGSAAN SERI BUNIAN.
Bangunan sekolah ini telah dirasmikan oleh Yang Mulia Ungku Mohd. Salleh. Beliau adalah Pegawai Daerah Pontian pada ketika itu.


Tahun 1966
Kementerian Pelajaran (ketika itu) telah membina 2 blok bangunan kayu yang mengandungi 4 bilik darjah, 1 pejabat Guru Besar dan 1 bilik rehat guru.

Tahun 1987
Kementerian Pendidikan Malaysia telah menambah 1 blok bangunan 2 tingkat dan 1 blok kantin. Ia mula digunakan pada tahun 1988.


Tahun 2001
2 blok bangunan kayu telah dirobohkan dan digantikan dengan 1 blok bangunan batu 4 tingkat. Bagi menampung kekurangan bilik darjah ekoran pembinaan ini, sebahagian murid terpaksa menumpang belajar di Sekolah Agama Seri Bunian.

Tahun 2002
Sekolah ini telah dinaikkan taraf dari Gred B kepada Gred A. Bangunan 4 tingkat ini siap dan mula digunakan pada tahun 2003.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home